Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Januari. - Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Jabatan Pendidikan Khas telah menyelaras penyertaan bagi tiga pelajar dan seorang pegawai untuk menyertai 15th ASEAN+3 Student Camp for the Gifted in Science dan 17th ASEAN+3 Teacher Workshop for the Gifted in Science yang dianjurkan oleh ASEAN+3 Center for the Gifted in Science (ACGS) dan disokong oleh The Korean Ministry of Science and ICT dan Korean Foundation for Science and Creativity (KOSAC).
Program berkenaan akan diadakan pada 4 hingga 10 Januari 2026 di Seoul National University of Education, Seoul, Republik Korea.
Tiga pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah terdiri daripada pelajar Tahun 10 dari Jerudong International School Brunei (JIS), Dayang 'Aliah Zahrah binti Mohamed Fairuz dan Dayang Nadia binti Ahmad Sukarni; manakala Dayang Hasya Fasiha binti Azrin dari International School Brunei (ISB).
Para delegasi juga disertai oleh Dayang Nor'azali binti Dato Paduka Haji Jumat dari Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien, selaku peserta (guru) dan mentor.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, di sini, bagi mengucapkan selamat belayar, Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Mustazah binti Awang Maidin.
Turut hadir, pegawai-pegawai dari Pusat EDGE, Kementerian Pendidikan dan para ibu bapa serta ahli keluarga pelajar.
Program berkenaan bertemakan 'Food for All : The Role and Responsibility of Science for a Sustainable Tomorrow' merupakan program tahunan yang bertujuan menghimpunkan pelajar cerdas pintar dan berbakat, yang turut melibatkan para guru dalam bidang Sains dan teknologi.
Program berkenaan memberikan peluang kepada mereka untuk bekerjasama dan mempamerkan kemahiran dalam persekitaran yang mencabar dan bermakna.
Semasa program berkenaan, para pelajar akan terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk Majlis Pembukaan, mendengarkan ucaptama semasa Majlis Pembukaan dan juga menghadiri kuliah berkenaan dengan tema program.
Selain itu, pelajar-pelajar akan menyertai pembentangan berkumpulan antara negara dan mereka telah diberikan tugasan pra-program untuk disiapkan secara berkumpulan sebelum program bermula.
Pada masa yang sama, 17th ASEAN+3 Teacher Workshop for the Gifted in Science turut diadakan untuk memperkaya dan meningkatkan kompetensi pedagogi guru melalui bengkel yang merangkumi seminar mengenai isu pendidikan global, bengkel amali yang mendalam mengenai kit inkuiri sains (contoh Da Vinci Science Box), serta lawatan ke Gwacheon National Science Museum.
Semasa sesi kongsi sama berkenaan, Dayang Nor'azali akan membentangkan mengenai Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat di NBD.